
Pendudukan Tentera Imperial Jepun telah meninggalkan keadaan kesengsaraan dan ketakutan dikalangan penduduk kampung. Semangat untuk Malaya Merdeka dan tidak mau dijajah mula membakar di dada rakyat. Mereka tidak suka pada pendudukan Jepun yang menyusahkan ramai itu. Rakyat senantiasa dibendung rasa takut, dalam keadaan keselamatan yang tidak menentu. Masih ku ingat, ayahku dan rakan-rakan sekampung nya sering bercelotih pengalaman jerih yang mereka hadapi semasa pendudukan Jepun. Kesah bagaimana sipolan itu telah didera Jepun dipaksa minum air sampai buncit perut dan kemundian dipijak dengan kasarnya, sampaikan muntah darah. Ada kesah yang dibisik-bisikkan dari telinga ketelinga bahawa terdapat dikalangan mereka yang jadi talibarut Jepun. Saisi keluarga dan jiran tetangga diperingat, supaya hati-hati dari diperangkap mereka. Mereka yang menjadi talibarut Jepun itu akan melakukan apa sahaja untuk berkuasa. Jangan celopor bila berbahasa. Tiap turut kata mesti berpada-pada. 'Cakap siang pandang pandang, cakap malam dengar-dengar. Ta'tau siapa di kalangan kita itu yang jadi talibarut Jepun, ujar mereka. Selalunya orang bodoh jadi makanan orang yang cerdek. Ada pemuda yang terpedaya, dijanjikan kerja dan tempat tinggal yang baik oleh Jepun, akhirnya dihantar sebagai Buruh Paksa di sempadan Burmah/Siam - semuanya gara-gara dan inaya talibarut musuh itu.
Kerana itu ayahku selalu menjauhkan diri dari bergaul dengan tidak menentu. Dia membenci pendudukan Jepun, dan dia juga tidak suka dijajah British samula. Itu pendiriannya. Tapi pendirian itu hanya berani di suarakannya kepada rakan yang terdekat, yang sama saperjuangan sahaja. Kesah politik di kedai kopi tidak boleh dibincangkan dirumah, kuathir ada antara yang mendengar akan terlepas kata dan terperangkap.

No comments:
Post a Comment